PENYANYI dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 43, memohon kerajaan membenarkan orang ramai makan dalam restoran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram (IG), Fazley percaya ramai pemilik kedai makan yang terkesan dengan PKP yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dan enam daerah di Selangor.
Katanya, beliau berharap cadangan berkenaan dipertimbangkan dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.
“Saya terpanggil untuk berkongsi terutamanya kepada pihak berwajib, kalau boleh memberi peluang kepada pengusaha restoran untuk membenarkan pelanggan-pelanggan kami ‘dine in’.
“Mungkin satu meja untuk dua orang dan diperhalusi dengan SOP ketat. Perlu daftar MySejahtera, menggunakan cecair sanitasi tangan, pelitup muka hanya dibuka ketika makan dan selepas makan, mereka perlu keluar dari restoran,” katanya.
Fazley berkata, pelaksanaan PKP semestinya memberi kesan besar kepada pengusaha restoran.
Menurutnya, bukan mudah untuk semua orang untuk menggunakan perkhidmatan penghantar makanan sepanjang masa.
“Bukan mudah kerana apabila balik kerja, nak tempah makanan sebab penghantar makanan pun tidak ramai. Mereka juga terkejar-kejar. Jika dibuka peluang untuk membenarkan pelanggan makan di restoran, ia membantu banyak pihak.
“Itu hanyalah saranan saya kepada pihak berwajib. Jika kecil hati, ini hanyalah permintaan ikhlas daripada saya dan juga ramai pengusaha restoran yang lain,” katanya.
PKP dilaksanakan di enam daerah di Selangor mulai semalam hingga 17 Mei, manakala seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 20 Mei. – Malaysiapost

