Kerajaan belum ada maklumat penangguhan ibadat haji 2021

0
1

KERAJAAN belum menerima sebarang maklumat daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung larangan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat mengenai situasi itu dalam masa terdekat.

“Buat masa ini saya tak dapat nak maklumkan bila jangkaan keputusan ini akan diperoleh.

“Belum lagi (dimaklumkan). Nanti saya akan dapatkan maklumat (daripada Kerajaan Arab Saudi) dalam masa terdekat. Insya-Allah,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dana Maybank Mixed Assets-I Waqf di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Untuk rekod, tahun ini adalah tahun kedua rakyat Malaysia tidak dapat menunaikan ibadah haji seandainya kerajaan Arab Saudi membuat keputusan berkenaan.

Tahun lalu, kerajaan memutuskan menangguhkan ibadat haji untuk semua rakyat Malaysia bagi Musim Haji 1441.

Keputusan itu dimakluman Zulkifli pada 11 Jun tahun lalu selepas mendapat titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, keputusan itu juga diambil berdasarkan taklimat disampaikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta perbincangan ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 9 Jun tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here