TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) bertanya kepadanya kenapa tidak menyokong kerajaan sekarang.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pemimpin tersebut menjelaskan kepadanya kerajaan sekarang dipimpin oleh Bersatu, iaitu parti diasaskan beliau dahulu maka adalah wajar disokong.
Malah, Dr Mahathir berkata ada pegawai tinggi dalam kerajaan yang menasihatinya supaya memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tetapi apa yang berlaku ialah selama tiga bulan saya perhatikan tingkah laku Muhyiddin saya dapati bahawa dia ini juga sama dengan Najib (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) guna duit untuk dapat sokongan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost.
Sementara itu Dr Mahathir mendakwa masa depan negara kelam dalam pentadbiran kerajaan sekarang susulan tidak mendapat sokongan majoriti dengan tiada satu parti dalam gabungan PN yang dominan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berpendapat parti gabungan dalam PN boleh dikatakan sama kuat ataupun sama lemah dan lebih menumpukan kepentingan sendiri daripada kepentingan negara.
“Semua sama kuat ataupun lebih pada sama lemah, jadi mereka khuatir tentang kedudukan mereka.
“Sebab itu mereka tumpu menyelamatkan diri sendiri tetapi tidak dapat menangani masalah negara seperti Covid-19 dan masalah ekonomi serta sosial yang teruk kerana rakyat gelisah dan tertekan,” katanya.
Beliau mendakwa, langkah kerajaan menangani wabak Covid-19 termasuk pengisytiharan darurat juga adalah demi menyelamatkan diri bagi terus berkuasa.
“Saya nampak begitu (menyelamatkan diri) bukan kerana Covid-19 tetapi kerana Muhyiddin tidak dapat tentukan sokongan kepada dirinya.
“Besar kemungkinan pada waktu dia dilantik jadi Perdana Menteri dia tidak dapat sokongan daripada Dewan.
“Jadi sekarang ini dia bertungkus lumus dan berhempas pulas untuk beli sokongan seperti baru-baru ini ada yang kalah dalam pilihan raya tiba-tiba jadi Timbalan Menteri,” katanya. – Malaysiapost

