SEMALAM Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan telah menubuhkan satu lagi jawatankuasa baru iaitu Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB).
Jawatankuasa ini dianggotai oleh 21 menteri, empat ketua jabatan, dua ketua syarikat pelaburan kerajaan dan lain-lain.
Mengikut Perdana Menteri, jawatankuasa ini ditubuhkan untuk menentukan dasar dan strategi perlaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, iaitu dasar jangka panjang negara untuk sembilan tahun akan datang.
Semasa saya di Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri dahulu (2008-2018), antara tugas dan tanggungjawab saya ialah merangka dan menentukan dasar jangkamasa panjang dan sederhana negara, oleh itu saya tahu sedikit sebanyak berkenaan hal ini.
Pada hemat saya ada sekurang-kurangnya tiga perkara yang tidak kena berkenaan penubuhan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) 2030 ini sekarang:
PERTAMA, negara sekarang dilanda tiga krisis serentak yang semakin hari semakin teruk iaitu krisis Covid-19, krisis ekonomi, dan krisis demokrasi.
Oleh itu sepatutnya segala usaha dan sumber digunakan oleh kerajaan dan Perdana Menteri untuk menangani dan menyelesaikan krisis di depan mata ini dahulu, bukannya menggunakan sumber kerajaan dan dua per tiga Kabinet (21 menteri) dengan tugasan tambahan bagi merangka dasar jangka panjang untuk sembilan tahun akan datang.
Ramai rakyat sedang menghadapi kepayahan sekarang dan tidak tahu adakah mereka boleh bertahan sehingga akhir tahun ini, bukannya sembilan tahun lagi.
Apabila mereka tidak ada duit untuk makan dan pada masa yang sama terdedah kepada wabak Covid-19, mereka tidak boleh tunggu sembilan tahun.
Semasa krisis, kerajaan perlu memastikan pertamanya keadaan hari ini tidak menjadi semakin buruk dan kerajaan perlu fokus dalam menggunakan sumber yang ada termasuk kepakaran, kewangan dan masa untuk tujuan ini.
Usaha-usaha dan inisiatif jangka panjang boleh diteruskan di peringkat pengurusan pertengahan ke bawah tetapi tidak seharusnya menjadi keutamaan Perdana Menteri atau Kabinet semasa krisis, tambahan lagi di kala darurat masih berkuatkuasa.
Melantik 21 menteri serta Perdana Menteri untuk mempengerusikan jawatankuasa untuk bincang dasar untuk sembilan tahun depan di kala krisis bukanlah suatu yang bijak.
Malah ia adalah sesuatu yang dangkal dan membazirkan sumber, malah ia meningkatkan risiko kepada rakyat yang terdedah kepada kesan krisis-krisis ini dan membahayakan nyawa rakyat iaitu apabila kerajaan tidak fokus atau tidak tahu apa yang mereka (kerajaan) buat.
Ia umpama memanggil mesyuarat keluarga untuk merancang renovation rumah untuk tahun depan di kala rumah sedang marak terbakar. Ini tidak masuk akal langsung.
KEDUA, saya lihat jawatankuasa ini terdiri daripada orang-orang lama dipanggil semula, tetapi tidak ada (atau tidak ramai) orang muda atau belia di dalamnya.
Rancangan jangka panjang negara perlu melibatkan lebih ramai orang muda kerana merekalah pemegang taruh terbesar dalam rancangan ini.
Tidak masuk akal jika kita minta atuk-atuk mereka untuk merangka dasar untuk orang-orang muda yang akan menghadapi zaman yang berbeza pada masa hadapan daripada generasi sebelumnya.
KETIGA, di Parlimen telah ada banyak jawatankuasa yang boleh diaktifkan untuk menangani krisis ini mahupun membantu merangka dasar jangka pendek, sederhana atau panjang jika perlu.
Apa yang perlu dibuat adalah buka Parlimen, bukan tubuh jawatankuasa baru untuk memikirkan kemakmuran rakyat 9 tahun akan datang.
Kerajaan perlu fikir bagaimana untuk meringankan kepayahan rakyat dan menjauhkan mereka dari mudarat pada hari ini dulu.
P/S: Wawasan Kemakmuran Bersama ini dasar semasa PH/Mahathir 22 bulan jadi kerajaan dulu.
Penulis ialah Ketua Penerangan BN Selangor
(Artikel ini adalah pandangan penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

