“KAMI akur bazar Ramadan di Selangor ditutup… ini kerana kami risau jangkitan Covid-19 bertambah teruk.”
Demikian kata Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam Razak susulan keputusan kerajaan Selangor menutup bazar Ramadan di seluruh negeri itu mulai Sabtu ini.
Beliau sendiri bersyukur kerana peniaga bazar Ramadan di Selangor tahun ini dapat berniaga selama 25 hari, berbanding tiada langsung bazar beroperasi pada tahun lalu.
“Sebenarnya bazar Ramadan pada minggu pertama memberangsangkan namun masuk minggu kedua, prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan, kanak-kanak bawah 12 tahun tak dibenarkan masuk.
“Malah kemasukan ke bazar guna sistem pengiliran, maka ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada peniaga, jualan jadi perlahan dan tidak memuaskan.
“Lagi satu, kita terjejas juga dengan hujan.. selalu petang hujan, apa pun peniaga tetap bersyukur,” katanya.
Kamarul Nizam turut bersyukur kerana kerajaan Selangor bersetuju membayar pampasan RM500 kepada semua peniaga yang terlibat dan ia disifatkan mampu meringankan beban mereka.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan bazar Ramadan di seluruh Selangor tidak akan dibenarkan beroperasi mulai Sabtu ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan RM500 kepada peniaga bazar Ramadan yang terjejas. – Malaysiapost

