Sambutan Jubli Intan Umno dirai sederhana

0
1

ULANG tahun ke-75 penubuhan Umno akan disambut secara sederhana setiap negeri pada Mei dan Jun ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersetuju sambutan Jubli Intan diadakan di setiap negeri mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pada sambutan berkenaan, tokoh Umno di setiap negeri akan diumumkan dan diberi penghargaan.

“Logo Jubli Intan boleh digunakan dalam ucapan dan sebaran sempena hari ulang tahun Umno ke-75,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad menyeru semua 191 Bahagian Umno mengadakan upacara pada ulang tahun parti itu tanpa meminggirkan SOP yang ditetapkan.

“Menaikkan bendera Umno di pejabat Umno Negeri dan Bahagian serta di kawasan tertentu yang disifatkan sesuai, bermula seawal mungkin.

“Mengadakan solat hajat, bacaan Yassin dan doa selamat agar pemimpin Umno, ahli, penyokongnya serta seluruh rakyat Malaysia dilindungi dan sentiasa dibantu Allah.

“Sempena Ramadan dan Syawal pula, adalah disyorkan Umno Bahagian terus melakukan program ziarah kasih dan membantu mereka yang memerlukan di kawasan masing-masing,” katanya.

Umno yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 adalah simbol kekuatan orang Melayu yang menolak dasar penjajah yang mahu menukar Tanah Melayu ketika itu sebagai Malayan Union.

Parti itu menerajui kepimpinan negara bersama Barisan Nasional sejak merdeka, namun hilang kuasa apabila kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, Umno kini sebahagian parti yang menyokong penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional selepas peralihan kuasa yang dikenali Langkah Sheraton pada Mac 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here