KELANTAN membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang kelapan di Gelanggang Seni hari ini, bagi menampung pesakit Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin, berkata PKRC berkenaan dapat memuatkan 150 pesakit dalam satu masa.
Katanya, PKRC Gelanggang Seni akan diletakkan peralatan yang lebih baik untuk menempatkan orang yang lebih berisiko dan memberi keselesaan kepada pesakit warga emas berusia lebih 60 tahun.
“Yang kita tahu walaupun mereka pada peringkat satu dan tidak mempunyai simptom, tetapi mereka boleh berubah pada-pada bila masa.
“Kita akan menempatkan pakar di PKRC berkenaan untuk memantau pesakit,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Bagi Mengawal Penularan Covid-19 di Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau berkata, fasiliti hospital sama ada unit rawatan rapi (ICU) dan PKRC semakin tepu apabila penggunaannya melebihi 80 peratus.
“Kita nak beritahu masyarakat bahawa Covid-19 ini memang wujud dan serius serta kita memikirkan nyawa masyarakat.
“Sebab itu kerajaan negeri memohon dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketatkan sedikit Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga mengambil kakitangan kesihatan kontrak untuk menampung keperluan di Kelantan. – Malaysiapost

