KERAJAAN Johor membenarkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di tiga daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok, untuk terus beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil, berkata keputusan berkenaan diputuskan kerajaan negeri selepas perbincangan lanjut dilakukan.
Katanya, waktu operasi bazar Ramadan di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai bermula 3 petang hingga 8 malam, manakala bazar Aidilfitri bermula 10 pagi hingga 10 malam dengan pelaksanaan SOP yang ketat.
“Begitu juga, bazar Ramadan dan Aidilfitri di daerah yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan seperti sebelum ini iaitu dari jam 3 petang hingga 8 malam.
“Manakala bazar Aidilfitri dibenarkan dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dengan pelaksanaan SOP yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebarang perubahan, pindaan atau keputusan terkini kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiga daerah di Johor diletakkan di bawah PKP bermula esok hingga 20 Mei.
Keputusan itu dibuat berikutan jumlah kes aktif yang direkodkan di lokaliti tersebut adalah tinggi dengan kebanyakan kes adalah sporadik dalam komuniti. – Malaysiapost

