Segerakan siasatan dakwaan rasuah dalam amalan lompat parti

0
1

PEMUDA Umno di seluruh negara telah membuat laporan polis terhadap pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai budaya rasuah dalam amalan lompat parti dan campur tangan serius dalam insitusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan politik.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dakwaan tersebut amat serius kerana bukan sahaja dibuat oleh bekas pemimpin tertinggi agensi keselamatan negara, bahkan melibatkan aspek integriti kepimpinan kerajaan dan kedaulatan negara.

“Justeru Pemuda Umno mahu kertas siasatan segera dibuka dan keterlibatan agensi lain terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini bagi menyiasat dan memanggil Abdul Hamid bagi menyelamatkan negara daripada berterusan menjadi persepsi dengan imej kebankrapan integriti sehingga menjejaskan keyakinan rakyat dan kepercayaan pelabur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Abdul Hamid dilaporkan berkata beliau menentang rasuah dalam PDRM, namun pemimpin politik telah membudayakan rasuah.

“Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik mabuk kuasa.

“Sekejap ‘katak’ melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu? Rasuah.

“Saya minta SPRM masuk (siasat). Seolah-olah dalam negara kita tidak ada undang-undang,” katanya.

Beliau juga mendakwa wujud campur tangan politik dalam pentadbiran PDRM termasuk menggunakan Cawangan Khas untuk kepentingan politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here