POLIS sedang mencari seorang lelaki positif Covid-19 yang melarikan diri dari wad Hospital Lama Sungai Petani di Kedah semalam.
Pesakit berusia 39 tahun yang sedang menjalani kuarantin pada hari keenam itu disedari tiada di wad, sebelum pihak hospital menghubungi polis pada jam 9 pagi, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata jururawat di wad B1 hospital itu menyedari kehilangan lelaki tersebut pada jam 8.45 pagi semalam.
Katanya, siasatan mendapati pesakit lain memberitahu lelaki itu membawa beg dan barangan miliknya ketika keluar jam 6.30 pagi.
“Pesakit itu dipercayai mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Khamis lalu untuk melakukan pembedahan kecil pada tangannya yang bernanah.
“Bagaimanapun, hasil ujian swab mendapati dia positif Covid-19 sebelum dihantar ke pusat kuarantin di Hospital Lama Sungai Petani, Jumaat lalu,” katanya.
Susulan itu Adzli berkata pasukan khas telah digerakkan untuk mencari lelaki tersebut di rumahnya di Taman Bandar Baru Sungai Lalang, namun dia tiada di rumah.
“Polis masih mengesan lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. – Malaysiapost

