PKP: Kita bukan nak susahkan rakyat – Ismail Sabri

0
1

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur serta beberapa kawasan lain bukan bertujuan untuk menyusahkan rakyat.

Sebaliknya, Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata keputusan berat itu terpaksa dibuat atas saranan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas kes jangkitan Covid-19 dalam komuniti semakin meningkat.

“Bukan tujuan kerajaan untuk menyusahkan rakyat. Saya tahu rakyat marah… tujuan kita adalah untuk menyelamatkan nyawa rakyat,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Memperincikan mengenai keputusan itu, Ismail Sabri berkata kes di Selangor dalam tempoh lima hari ini meningkat berterusan dengan lebih 1,000 kes dicatatkan setiap hari, termasuk adanya varian baharu.

Di Kuala Lumpur pula, jelasnya kes turut meningkat dengan begitu tinggi termasuk 13 kluster baharu dikenalpasti.

“Sebab itulah KKM tidak mahu jangkitan ini terus meningkat, jadi sebab itulah kerajaan buat intervensi ini iaitu memperkenalkan PKP supaya kita dapat mengurangkan jangkitan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan tidak mahu Malaysia menjadi seperti India apabila kes harian Covid-19 di negara itu sudah tidak lagi dapat dikawal.

“Mereka (India) terlalu rileks selepas beberapa pemimpin mereka mengisytiharkan India sudah menang menentang Covid-19, akhirnya mereka mula memberikan kebebasan.

“Akhirnya bila berlaku penularan Covid-19 (secara mendadak) di India, kerajaan mereka sudah tidak mampu mengawalnya.

“Kita tak mahu perkara ini berlaku kepada negara kita, kita sayang rakyat kita dan kita jaga nyawa rakyat kita,” katanya.

Semalam Ismail Sabri mengumumkan PKP dilaksanakan di enam daerah di Selangor mulai esok hingga 17 Mei ini, manakala hari ini beliau memaklumkan PKP dikuatkuasakan di seluruh Kuala Lumpur mulai 7 hingga 20 Mei. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here