Polis siasat dua pengguna media sosial

0
1
CID Director Commissioner Police Datuk Huzir Mohamed chair press conference at Bukit Aman

POLIS menyiasat dua pengguna media sosial yang didakwa menyebarkan berita mendakwa penerbangan MH191 dari New Delhi, India membawa masuk penumpang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kertas siasatan sudah dibuka terhadap dakwaan dibuat pemilik akaun Facebook, Muhammad Fahmi Abdullah dan Wan Hilmi Wan Mohd Nor.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat hantaran mengandungi kenyataan jelik serta mengaibkan kerajaan.

“Kedua-dua hantaran tersebut dibuat selepas kerajaan mengeluarkan arahan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April lalu untuk menyekat sementara kemasukan penerbangan penumpang dari India bagi mencegah kemasukan varian baharu Covid-19 dari negara berkenaan.

“Kenyataan dikeluarkan mereka itu adalah berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah diambil kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Beliau berkata, polis setakat ini sudah membuka 12 kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 membabitkan individu menyebarkan berita tidak benar sehingga menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang ramai atau golongan.

“Ordinan diwartakan pada 11 Mac lalu itu adalah khusus mengekang aktiviti penghasilan dan penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19 atau Proklamasi Darurat 2021.

“Ia memberi kuasa kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan cuba menyiar serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here