PKP dilaksanakan berdasar tiga parameter – MB Selangor

0
1

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) wajar dilaksanakan di enam daerah di Selangor berdasarkan tiga parameter, antaranya peningkatan mendadak kes Covid-19 yang mencecah sehingga empat angka atau lebih 1,000 kes dalam sehari.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata penelitian pihaknya turut mengesan individu disahkan positif daripada penjejakan kontak melalui aplikasi MySejahtera mendapati mereka mengunjungi pusat membeli belah, bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

“Yang ketiga dan amat penting iaitu disebabkan keadaan katil-katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang sangat kritikal, di mana beberapa hospital telah mencecah lebih 50 hingga 60 peratus dan mungkin mencecah 80 peratus penggunaan katil pada ketika itu.

“Justeru, di atas tiga sebab tersebut kita telah mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan PKP,” katanya pada sidang media hari ini.

Amirudin berkata kes penularan di tempat kerja yang sebelum ini menjadi penyumbang tertinggi penyebaran wabak itu kini semakin terkawal hasil langkah bersama kerajaan pusat dan negeri.

“Angka kita dalam seminggu terakhir menunjukkan bahawa daripada keseluruhan kes hanya sekitar 10 hingga 15 peratus berpunca daripada kes di tempat kerja.

“Ini bermakna beberapa langkah dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri khususnya untuk menangani penularan tempat kerja seperti serve at work telah menunjukkan hasil tapi malangnya ia merebak melalui aktiviti-aktiviti pusat berkumpulan orang ramai iaitu di sekolah, bazar-bazar Ramadan dan juga pasaraya.

“Ia menyebabkan beberapa lokaliti-lokaliti tersebut terpaksa ditutup termasuk kes kita kesan di sekolah dan masjid,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here