Ratu terjun negara, Pandelela Rinong membuktikan kehebatannya apabila meraih pingat emas dalam cara 10 meter (m) platform individu di Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, Jepun, hari ini.
Anak kelahiran Sarawak itu mengumpul 355.70 mata sekali gus mengenepikan tujuh lagi penerjun. Tempat kedua dimenangi Matsuri Arai dari Jepun manakala Caeli McKay dari Kanada berpuas hati di kedudukan ketiga.
Beliau adalah penerjun pertama negara muncul juara dalam kejohanan berprestij itu.
Kemenangannya itu menunjukkannya di landasan tepat mencabar penerjun handalan dunia lain bagi meraih pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.
Beliau adalah penerjun pertama negara memenangi pingat dalam temasya itu pada Olimpik 2012 di London. Empat tahun kemudianya di Brazil, gandingannya bersama Cheong Jun Hoong berjaya menggondol pingat perak dalam acara platform serentak 10 meter.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut mengucapkan tahniah kepada Pandelela atas kejayaan membanggakan itu.
“Tahniah @Pandelela_R!! Kejayaan ini terus menyemarakkan semangat kita semua sebelum acara yang terbesar tahun ini. So so proud of you Pandelela (sangat berbangga dengan kamu Pandelela),” tulis Reezal di akaun Twitter.-Malaysiapost

