POLIS menahan seorang lelaki disyaki memberikan anaknya yang berusia dua tahun rokok elektronik atau vape untuk dihisap.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Terawe berkata suspek berusia 23 tahun ditahan di sekitar Setapak semalam selepas pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memaklumkan penularan video kanak-kanak itu sedang menghisap vape.
Katanya, JKM dan polis telah pergi ke sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Jalan Usahawan Off Jalan Genting Klang, Setapak semalam untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.
“Kanak-kanak itu kemudian dibawa bersama ibunya untuk pemeriksaan dan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Ahad lalu di Taman Sahabat Jaya Batu Caves dan telah dirakam oleh ibu mangsa.
Sementara itu, suspek menerusi laman Facebook yang didakwa miliknya memohon maaf di atas tindakannya itu dan menjelaskan dia bukan mendera anaknya, sebaliknya hanya bergurau.-Malaysiapost

