SOP Aidilfitri dikeluarkan bagi kawasan PKP, PKPB, PKPP dan PKPD

0
1
Orang ramai hadir di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Jumaat dengan penjarakkan 1.5 meter ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

SOLAT sunat Aidilfitri dan takbir raya dibenarkan di masjid dan surau bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) kedua-dua aktiviti itu tidak dibenarkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai prosedur operasi standard (SOP) Hari Raya Aidilfitri.

“Bagi takbir raya di masjid/surau, ia dibenarkan di kawasan PKP, PKPB dan PKPP mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri. Namun begitu bagi kawasan PKPD ianya tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun amalan takbir dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan di semua kawasan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan jumlah kehadiran serta penyertaan jemaah lelaki, wanita dan kanak-kanak mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.

Beliau berkata, MKN juga telah membuat keputusan bahawa jamuan selepas solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau, rumah terbuka, ziarah tanah perkuburan adalah tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKPD.

“Bagi kawasan PKPB dan PKPP, jamuan selepas solat Hari Raya di masjid dan surau dibenarkan tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri.

“Jawatankuasa masjid atau surau digalakkan menyediakan juadah secara bungkus dan diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang,” katanya.

Ismail Sabri berkata, ziarah hari raya bagi PKP hanya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tetamu adalah tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

“Ziarah di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan pada 1 hingga 3 Syawal dan terhad kepada 20 orang (PKPB) dan 25 orang (PKPP) pada satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

“Tuan rumah digalakkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu badan, menggunakan QR code MySejahtera atau menyediakan buku bagi mencatat nama dan nombor telefon tetamu,” katanya.

Beliau berkata, ziarah kubur di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan dengan syarat tidak lebih enam orang bagi satu petak kubur serta tidak lebih 30 minit, manakala di kawasan PKP dan PKPD tidak dibenarkan.

“Sambutan Hari Raya Aidilfitri di kawasan PKPD hanya dibenarkan dalam kalangan ahli keluarga daripada rumah sama sahaja. Ini bermakna mereka tidak dibenarkan sama sekali keluar rumah untuk amalan kunjung mengunjung.

“Penganjuran sebarang majlis rumah terbuka bagi semua kawasan adalah tidak dibenarkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here