Majlis buka puasa: 12 artis termasuk penganjur beri keterangan

0
1

SERAMAI 12 orang saksi termasuk penganjur dan selebriti yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 telah memberi keterangan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata kehadiran mereka itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Beliau tidak menolak kemungkinan akan memanggil lebih ramai saksi yang hadir di majlis berkenaan.

“Mungkin daripada siasatan selanjutnya, kita akan mengambil keterangan lebih ramai lagi.

“Kita lebih fokus kepada penganjur dan mereka yang didapati melanggar SOP seperti yang tular,” katanya menurut laporan MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Tambahnya, pihak pendakwa raya akan menetapkan sama ada penganjur dan selebriti yang ingkar SOP di majlis berkenaan bakal dikompaun atau didakwa di mahkamah.

“Kita akan rujuk kertas siasatan ini bila siap nanti ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial gambar Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 yang diadakan pada 29 April lalu didakwa melanggar SOP.

Dalam gambar yang tular di media sosial menunjukkan antara artis yang hadir pada majlis itu adalah penyanyi rap Caprice, Ashraf Muslim, Heliza Helmi, Iman Troye, Mawar Rashid dan PU Hafiz.

Ekoran itu, polis membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran majlis tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here