Pahang juga cadang PKP jika kes Covid-19 gagal dikawal

0
1

PAHANG akan mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika peningkatan kes Covid-19 di beberapa daerah di negeri berkenaan gagal dikawal.

Antara daerah yang mungkin dikenakan PKP adalah Mukim Gali dan Tras di Raub.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu perlu dilaksanakan berikutan peningkatan kes sepanjang tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Menurutnya, sebanyak 354 kes aktif dengan kebolehjangkitan direkodkan sehingga semalam, dengan empat daerah diletakkan di bawah kategori zon merah iaitu Bentong, Kuantan, Temerloh dan Raub.

“Saya sangat bimbang dengan trend peningkatan di daerah Kuantan yang tidak menunjukkan sebarang penurunan.

“Sehingga jam 12 tengah hari hari ini, jumlah kumulatif kes positif di Kuantan ialah 1,470 kes dengan 143 kes aktif daripada sembilan kluster.

“Jumlah sampel yang belum menerima keputusan ialah 647 sampel dan 1,942 orang dikenakan perintah kuarantin di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sudah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Tanah Putih Baru.

“Bagi penduduk Kuantan, saya meminta semua mengawal penularan jangkitan wabak pandemik itu dengan mematuhi arahan.

“Mereka juga perlu mengehadkan aktiviti dan majlis rasmi berbentuk perhimpunan membabitkan orang ramai.

“Selain itu mengehadkan pergerakan rentas masuk dan keluar daerah serta mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP),” katanya.

Hari ini, kerajaan mengumumkan enam daripada sembilan daerah di Selangor dikenakan PKP selepas peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

Daerah itu adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here