MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) nafi mengeluarkan poster bertajuk ‘SOP Perintah Kawalan Pergerakan 10-20 May 2021’ yang tular di media sosial.
Menurut poster tersebut, SOP berkenaan melibatkan negeri-negeri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) berkaitan kebenaran dalam beberapa kategori seperti aktiviti sosial berkumpul, rentas negeri dan daerah, khidmat kedai makan, khidmat penghantaran makanan dan lain-lain.
MKN dalam satu kenyataan berkata, poster berkenaan adalah palsu kerana belum ada sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut dikeluarkan.
Sehubungan itu, MKN meminta orang ramai menghentikan penyebaran poster tersebut kerana boleh mengakibatkan kegusaran awam.
Dalam pada itu, MKN turut menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa PKP di seluruh Selangor akan dilaksanakan mulai esok.
Justeru, MKN menegaskan bahawa kenyataan berkenaan adalah palsu dan orang ramai disarankan berhenti menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat. – Malaysiapost

