Penerbangan dari India hanya kargo, bukan penumpang – Menteri

0
1

KEMENTERIAN Pengangkutan mengesahkan semua penerbangan Malaysia Airlines (MH) dari India sejak 28 April lalu, hanya penerbangan kargo dan bukan penumpang.

Menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, beberapa penjelasan mesti dibuat untuk meredakan keadaan.

Katanya, ia berikutan dakwaan penerbangan MH dari India dibenarkan memasuki Malaysia menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan kegusaran ramai.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia selari dengan arahan kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara
(MKN), berkuatkuasa pada 28 April lalu.

“Hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini.

“Penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.

“Mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah satu yang baharu (P2C penumpang-ke-kargo) dan dipraktikkan Malaysia Airlines Berhad (MAB ) selama berbulan-bulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang turut mengesahkan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia tiba lebih awal iaitu pada 10 April lalu.

“Pelancong bukan warga Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini.

“Namun, pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.

“Semua kru (juruterbang, jurutera, dan kru kabin) tetap berada di atas kapal.

“MAB juga melarang mana-mana kru penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat yang berkenaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan berkuatkuasa 28 April lalu.

“Warganegara Malaysia (pelajar dan pekerja), keluarga mereka dan pasangan bukan warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia dari India dibenarkan tetapi dengan kuarantin mandatori 14 hari di pusat yang ditetapkan.

“Untuk makluman, setelah mesyuarat MKN pada 28 April lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berakhir pada jam 5 petang, dan saya sudah menganjurkan perjumpaan secara maya pada jam 5.10 petang dan secara peribadi berkomunikasi dengan semua pihak yang berkepentingan berdasarkan hasil pertemuan itu.

“Saya sangat kesal dengan penyebaran beberapa maklumat yang salah mengenai status penerbangan ini, namun saya memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi di negara seluruh dunia dan mengambil langkah yang diperlukan,” katanya.

Tular satu mesej di media sosial bersama carta penerbangan yang menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh pesawat yang berlepas dari India dikesan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak kelmarin.

Justeru, mesej berkenaan membangkitkan kebimbangan penularan varian baharu Covid-19 dari India dan mendakwa, kerajaan tidak serius mencegah pandemik itu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here