Ingkar SOP, dua pegawai bomba dikenakan tindakan tatatertib

0
1

DUA pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak tahun lalu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang tidak mematuhi SOP.

“Sekiranya berlaku (rentas negeri) kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin ke atas pegawai berkenaan memandang keadaan begini sudah begitu lama dan mustahil saya pegawai itu tidak memahami serta mengetahui arahan yang ditetapkan.

“Setakat ini kita sudah mengambil tindakan disiplin kepada dua pegawai bomba yang terbukti melanggar arahan PKP atas urusan peribadi dalam tempoh Mac tahun lalu sehingga Mac tahun ini.

“Kedua-dua pegawai bomba yang melanggar SOP ini tahun lalu, satu menjalankan perniagaan keluarga melebihi tempoh yang dibenarkan di Sabah dan satu lagi di Semenanjung, dikesan di Sekatan Jalan Raya (SJR) kerana cuba rentas negeri dan tertangkap,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Dewan Bakawali, JBPM Selangor, Bukit Jelutong, Selangor hari ini.

Menurutnya, anggota bomba seperti orang biasa yang perlu mengisi borang dengan lengkap disertakan dokumen.

“Mereka tidak akan dibenarkan rentas negeri kecuali tugas rasmi, kecemasan, kematian dan kecederaan bukannya alasan peribadi,” katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan seramai 8,296 anggota dan pegawainya selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara sehingga hari ini.

“Sehingga kini tiada anggota yang menunjukkan kesan yang kritikal daripada suntikan itu, cuma sekadar pening atau demam sehari selepas suntikan,” katanya.

Terdahulu, beliau meraikan majlis penyampaian 131 anggota dan pegawai JPBM Selangor serta sembilan anggota bomba bantuan yang menerima APC. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here