SEBANYAK 22 sekolah di Negeri Sembilan diarah tutup selama dua hari bermula hari ini susulan terdapat pengesanan kes positif Covid-19.
Bernama melaporkan, Exco Pendidikan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek, berkata, sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Batu, SK King George, SK Labu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Forest Heights, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chan Wa dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Lorong Java dan SJKC Chung Hua, Seremban.
Katanya, turut ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kepayang, SJKT Nilai, SMK St Paul, SMK King George V, SMK Kompleks KLIA, SMK Bukit Mewah, SJKC Bandar Springhill dan SMK Tuanku Abdul Rahman di Gemas, SMK Gemas, SMJK Chan Wa II, SJKC Bandar Sri Sendayan, SMK Mambau, SK Chembong, SMK Dato’ Sedia Raja dan SK Dato Klana Putra.
Sementara itu, Mohamad Rafie berkata, 14 sekolah yang dilanjutkan tempoh penutupannya bermula hari ini dan esok ialah SK Kompleks KLIA, SJKC Sino English, SJKC Sungai Salak, SJKC Pei Hua, Seremban, SK Si Rusa, SK Lavender Heights, Sekolah Menengah Agama Rembau, SK Jimah Baru dan SK Desa Cempaka.
Beliau berkata, turut menerima arahan pelanjutan penutupan adalah SMK Desa Cempaka, SK Taman Seri Mawar, SK Bandar Sri Sendayan, SK Sega dan SJKT Ladang Tanah Merah.
Menurutnya, SMK Seremban 2 pula dilanjutkan penutupannya bermula hari ini sehingga Jumaat.
Beliau berkata, arahan penutupan itu bagi membolehkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) membuat penilaian risiko, pengesanan kontak rapat dan sekolah menjalankan proses disinfeksi. – Malaysiapost

