Ada negeri mohon laksana PKP semula – Annuar

0
1

PENINGKATAN kes Covid-19 menyebabkan beberapa kerajaan negeri bertindak memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kembali di negeri berkenaan.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, permohonan itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Sidang Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

“Sekurang-kurangnya dua negeri membuat permohonan dan rayuan supaya segera kembali semula kepada PKP kerana jumlah peningkatan kes tinggi dan kebarangkalian akan terus meningkat.

“Ada negeri yang berasakan kapasiti kemudahan termasuk katil hospital yang hampir mencapai lebih 80 peratus, jadi mereka mahu ambil langkah berjaga-jaga,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Prihatin Ramadan Wilayah Persekutuan, di Kompleks Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Annuar berkata, MKN mengambil langkah untuk meneliti secara mendalam permohonan itu dengan mengambil kira kepentingan mengekalkan keseimbangan antara kehidupan dengan soal berkaitan nyawa rakyat.

“Permohonan itu akan dibincangkan Jawatankuasa Teknikal MKN dan pengumuman lanjut akan dibuat Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Mengulas sama ada Kuala Lumpur turut memohon, beliau berkata, pihaknya berharap beberapa lokaliti diletakkan dalam PKP bersasar.

“Bagi pihak Jawatankuasa Keselamatan (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kita berasakan perlu lebih berhati-hati.

“Ini bermakna kita akan lihat di mana kawasan dan tempat yang perlu diperketatkan PKP dan kita akan memperketatkan kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir pihak melabel kerajaan mengamalkan sikap dua darjat, beliau berkata, kerajaan mengambil serius perkara itu.

Katanya, satu jawatankuasa khas sudah dibentuk untuk membincang serta memperbaiki keadaan.

“Apa yang penting kita mahu beritahu adalah kita sedar ada usaha agak terancang bagi tanam kebencian terhadap kerajaan dan kita tahu perkara itu dilakukan secara agak tersusun.

“Kalau kerajaan tiada keupayaan untuk membuat penjelasan dalam masa pantas serta cara berkesan, kerajaan akan terima akibat dan sebab itu kita pandang serius perkara ini.

“Mesej yang benar lambat sampai kepada rakyat berbanding berita palsu, jadi ia tidak seimbang. Ini adalah satu cabaran yang mesti diurus dengan baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here