MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini, membatalkan saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang difailkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Saman itu dibatalkan oleh Hakim Datuk Rozana Ali Yussoff selepas mendapati Yeoh gagal mematuhi arahan mahkamah berkaitan pemfailan beberapa dokumen praperbicaraan.
Bernama melaporkan, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili Musa, berkata, pembatalan itu dibuat tanpa kos dengan kebebasan untuk plaintif memfailkan semula saman.
Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Yeoh pula berkata, plaintif tidak dapat memfailkan beberapa dokumen kerana ia memerlukan persetujuan daripada peguam defendan dan meskipun kesemua dokumen sudah dihantar, namun persetujuan itu belum diperoleh.
“Peguam defendan terpaksa menguruskan kecemasan peribadi beberapa hari lepas, yang menjadikan lebih sukar untuk memperoleh persetujuan itu. Malangnya, hakim tidak menerima penjelasan ini dan membuat keputusan seperti itu.
“Kes ini telah dibatalkan, namun hanya atas alasan teknikal. Kami mendapat arahan untuk memfailkannya semula secepat mungkin dan tetap akan meneruskan saman fitnah terhadap Musa,” katanya.
Beliau kemudian memaklumkan saman itu telah difailkan semula pada hari ini sedang menanti mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes.
Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan pada forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertajuk ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’ pada 30 Januari tahun lalu.
Yeoh yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mendakwa kenyataan dalam ucapan itu adalah tidak benar, menyusahkan, palsu, salah dan tidak berasas, selain telah dirancang terlebih dahulu, dibuat dengan niat jahat, mencemarkan nama baik, memfitnah serta memusnahkan reputasi plaintif.
Beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang Musa, pegawai atau ejennya daripada menyebut, menerbit, menyebabkan untuk diterbitkan perkataan yang didakwa berunsur memfitnah, selain menuntut ganti rugi umum, teruk dan teladan, selain kos serta relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah. – Malaysiapost

