Sesetengah rakyat pandang ringan SOP, seolah-olah wabak sudah berakhir

0
1

SESETENGAH rakyat memandang ringan prosedur operasi standard (SOP) dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir, titah Sultan Ibrahim Iskandar.

Sultan Johor bertitah, sikap berbahaya itu hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan kita.

“Setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan Covid-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi.

“Umpama mula menimbulkan rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi. Kita sekarang berada pada tahap yang sangat kritikal. Jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi.

“Rakyat tidak boleh mengabaikan SOP walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut. Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain,” titah baginda menerusi kenyataan hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah walaupun sistem penjagaan kesihatan negara diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas.

Baginda menambah, jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan.

“Saya harap agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan. “Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat,” titah baginda.

Sultan Johor juga menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dan percaya kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin.

Sebagai Sultan Johor, baginda memaklumkan amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor dan tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga kehilangan insan tersayang akibat wabak ini.

“Sekiranya perintah kawalan pergerakan yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan, dengan memastikan orang ramai juga memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” titah baginda. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here