MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membayangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di Kuala Lumpur susulan berlaku kesesakan dan kepadatan pengunjung hingga menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kawalan dan pencegahan Covid-19.
Beliau mengakui antara dilema yang dihadapi di Wilayah Persekutuan ialah antara menjaga maslahah ekonomi dan kehidupan rakyat dengan kepentingan melindungi keselamatan dan nyawa manusia.
“Hati saya berat untuk melarang aktiviti perniagaan, kerana itu adalah sebahagian dari kehidupan di kota. Rakyat perlu hidup dan mencari rezeki.
“Pada masa yang sama, kesesakan dan kepadatan pengunjung menunjukkan penjarakan sosial menjadi sukar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Annuar berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan seliaan dan kepatuhan, namun peningkatan kes amat membimbangkan.
“PKP bersasar, menghadkan aktiviti sosial dan bukan ekonomi mungkin antara langkah segera yang di perlukan.
“Yang penting, setiap fasa memerlukan pendekatan yg berbeza-beza dalam perang Covid-19 yang panjang.Tiada satu formula yang tetap atau kaku.
“Yang penting, kapasiti kita mengurus situasi berbeza tetap tinggi dan cukup terkawal,” katanya.
Beliau menyeru agar warga kota meneruskan solidariti dan kesatuan untuk menang bersama dalam menangani Covid-19. – Malaysiapost

