KERAJAAN Sabah menyekat kemasukan pelawat dari empat lagi negara membabitkan Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka berkuatkuasa esok.
Larangan itu diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor yang memaklumkan ia bertujuan mencegah kemasukan varian baharu Covid-19 ke negeri itu.
Menurutnya, pengecualian bagaimanapun diberi kepada rakyat negeri itu yang tiba dari negara berkenaan.
“Pengecualian diberikan kepada rakyat Sabah, pasangan suami isteri dan anak kepada rakyat Sabah sahaja.
“Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi prosedur kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurutnya, kru kapal yang mempunyai sejarah perjalanan dari empat negara berkenaan dalam tempoh 14 hari juga tidak dibenarkan menjalani prosedur ‘sign off’ di Sabah.
Beliau berkata, pengecualian diberikan kepada kru kapal warga Malaysia dan mereka wajib menjalani kuarantin 14 hari di stesen kuarantin diwartakan.
Pada 27 April lalu, Hajiji mengumumkan Larangan kemasukan pelawat dari lima negara iaitu India, Perancis, Amerika Syarikat, Afrika dan Brazil ke Sabah. – Malaysiapost

