Ifedayo pastikan Selangor FC ‘comeback’ sekali lagi

0
1

SELANGOR FC sekali lagi melakukan ‘comeback’ apabila dua jaringan lewat Ifedayo Omosuyi memastikan skuad merah kuning meraih tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menentang PJ City FC malam tadi.

Aksi di atas padang lembap di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu menyaksikan PJ City FC terlebih dahulu mendahului melalui R Ruventhiran pada minit ke-25.

Tersentak dengan jaringan itu pasukan Gergasi Merah menggandakan asakan namun berdepan kesukaran apabila skuad PJ City mengamalkan corak bertahan dengan berkampung di kawasan sendiri.

Namun kesabaran Selangor FC akhirnya berbaloi apabila Ifedayo menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-89 hasil gerakan dari sebelah kanan melalui sepakan sudut.

Ketika perlawanan dijangka berkesudahan seri, Ifedayo sekali lagi muncul penyelamat apabila sepakannya dari luar kota penalti membias terkena pemain pertahanan PJ City K Prabakaran sebelum bola menerjah jaring.

Ia gol ke-11 Ifedayo dari 11 perlawanan sekali gus memimpin carta penjaring terbanyak Liga Super musim ini.

Aksi malam tadi adalah yang ketiga berturut-turut menyaksikan Selangor FC bangkit dari ketinggalan iaitu menewaskan Melaka United FC 3-2 serta seri 2-2 bertemu Sabah FC minggu lalu.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor FC kekal di tangga kelima dengan 18 mata manakala PJ City di tangga keenam, ketinggalan empat mata di belakang.

Dalam satu lagi aksi di Stadium Likas, Sabah FC meraih tiga mata penuh apabila menewaskan Perak FC 2-1.

Walaupun mendahului 1-0 melalui Nazirul Naim, Perak FC gagal mengekalkan kelebihan apabila Sabah FC bangkit dengan dua gol pada babak kedua menerusi Amri Yahyah dan Levy Madinda.

Kemenangan itu meletakkan Sabah FC di tangga kelapan dengan 13 mata, manakala Perak FC di tangga ke-10 menerusi sembilan mata, hanya satu mata di depan Sri Pahang yang menghuni tangga kedua terbawah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here