PUNCA utama kerajaan tidak membenarkan aktiviti rentas negeri adalah kerana ia antara penyumbang merebaknya wabak Covid-19 hingga menyukarkan kawalan penularannya.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini dari Disember 2020 hingga April lalu jumlah kluster rentas negeri direkodkan adalah 42 membabitkan 5,800 kes positif.
Menurutnya, dalam bulan April sahaja terdapat 11 kluster rentas negeri dikesan dan antara negeri yang berkaitan dengan kluster itu adalah Kelantan.
“Daripada zon hijau keseluruhan daerah tiba-tiba menjadi merah kesemua daerah di Kelantan.
“Satu lagi contohnya adalah di Sarawak. Ada seorang daripada Sarawak bekerja kilang elektronik di Johor balik ke Sarawak dan menjangkiti lebih 2,600 orang serta menyebabkan 29 kematian.
“Sampai sekarang belum selesai di Sarawak kerana jangkitan daripada merentas negeri,” katanya kepada Malaysiapost.
Beliau berkata, sebab itu Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius kepada rentas negeri dan tidak membenarkannya.
“Jadi soal tidak boleh rentas negeri ini memang satu perkara yang sangat tidak popular pada kerajaan terutamanya terhadap saya.
“Kalau saya pun boleh menangis juga bila rindukan emak walaupun dah tua… saya faham dua tahun tidak jumpa emak, cucu tak jumpa datuk nenek atau anak tak jumpa bapa.
“Namun kita perlu lihat apa dilakukan oleh kerajaan melalui KKM ini adalah untuk melindungi nyawa kita semua,” katanya.
Sebagai contoh katanya, jika individu itu balik kampung dan menjangkiti ibu bapa mereka yang sudah warga emas dan jika nasib tidak baik lagi dengan kuasa Tuhan meninggal dunia kerana kita.
“Mungkin kita bergembira tiga atau empat hari saja raya dengan mereka tetapi akhirnya kita akan menangis seumur hidup kerana kita mengakibatkan mereka terkorban sebagai contoh.
“Contoh ini mungkin ekstrem tetapi bukan mustahil kerana ini pernah berlaku di Sarawak satu keluarga meninggal tetapi dia balik dari luar negara dan kesemua keluarga meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, perkara sedemikianlah yang membuatkan KKM tegas kerana khuatir bila berlaku kes seperti itu dan akhirnya kerajaan dipersalahkan kenapa gagal untuk menyekat daripada berlaku. – Malaysiapost

