Nilam Oshman
MURID masih memerlukan bimbingan tambahan di pusat tuisyen kerana pembelajaran akan menjadi bertambah sukar, di sebalik pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Perkara itu disuarakan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia, Mohd Noor Shafizzal Termizi yang menyatakan proses pembelajaran seperti biasa walaupun tanpa UPSR.
Ini kerana katanya, tetap ada peperiksaan cuma tiada peperiksaan utama dan akan digantikan dengan Pentaksiran Berasas Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mana ia lebih sukar.
“Jadi, tiada masalah dengan pemansuhan peperiksaan itu kerana kerajaan pun nak memperkasakan PBS dan melaksanakan PBD.
“Justeru pusat tuisyen akan berperanan membantu guru dalam mengajar pelajar-pelajar khususnya yang lemah,” katanya kepada Malaysiapost.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Shaffizal yang juga pengasas pusat tuisyen Puncak Yakin berkata pusat tuisyen kini dilihat lebih diperlukan oleh pelajar sebagai tempat bagi mereka menambahkan ilmu pengetahuan untuk terus bersaing.
“Ia kerana pembelajaran akan menjadi semakin mencabar dan kita membantu mereka untuk mencapai prestasi yang lebih baik,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat ibu bapa yang memberhentikan anak-anak mereka susulan pemansuhan UPSR, beliau berkata, setakat ini belum ada lagi yang berbuat demikian di pusat tuisyen diusahakannya.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa tidak berbuat demikian kerana tuisyen masih diperlukan bagi membimbing pelajar yang hadapi kesukaran, tertinggal dalam mata pelajaran tertentu, sukar memahami sesuatu subjek dan tidak dapat memberi tumpuan serta perhatian dalam kelas.
“Maka dalam keadaan inilah seseorang pelajar memerlukan tuisyen… bimbingan tambahan untuk membantu mereka,” katanya. – Malaysiapost

