ZAINAL Abidin Hassan mengakui tugas sebagai jurulatih tidak lari dari tekanan, apa lagi apabila pasukan bimbingannya tidak menunjukkan prestasi yang baik.
Pengendali Melaka United FC (MUFC) itu pasti merasai tekanan apabila mengalami kekalahan terbaharu dalam Liga Super iaitu 1-3 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di gelanggang sendiri, malam tadi.
Ia kekalahan keempat MUFC selepas mengharungi 11 perlawanan dan menghuni tangga kelapan, namun kemungkinan akan terus terperosok lagi jika pasukan di bawahnya mengutip mata dalam aksi masing-masing, malam ini dan esok.
Di sebalik tekanan itu, menurut Zainal, sebagai jurulatih profesional beliau akan terus memberikan yang terbaik untuk meningkatkan semula prestasi pasukan.
“Kita tak boleh lari dari tekanan bila kedudukan begini (prestasi kurang baik). (Namun) Saya seorang profesional, selagi diberi kepercayaan saya akan teruskan usaha untuk perbaiki pasukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan malam tadi, KDA FC terlebih dahulu mendahului melalui Kpah Sherman pada minit ke-18, namun Stefan Nikolic menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti pada minit ke-38.
Bagaimanapun KDA FC menambah dua jaringan pada babak kedua menerusi Sherman dan Baddrol Bakhtiar sekali gus menghadiahkan kekalahan kepada MUFC.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Zainal menyifatkan pasukannya bermain baik pada pertama dan 20 minit babak kedua.
“Kita ramai pemain yang cedera dan digantung, namun pemain lain tunjukkan keyakinan terutama separuh masa pertama dan 20 minit babak kedua, tapi kita ‘roboh’ selepas gol kedua KDA FC,” katanya. – Malaysiapost

