PAS Johor hari ini secara terbuka menyuarakan rasa tersisih dalam isu pembahagian Ahli Majlis Kerajaan Tempatan serta Ketua Kampung di negeri itu.
Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, setakat ini tiada seorang pun wakil PAS dipilih bagi pelantikan jawatan itu di daerah Muar, Simpang Renggam dan Kota Tinggi.
“Ini bercanggah dengan persetujuan dicapai antara PAS dan kerajaan negeri sebelum ini.
“PAS Johor sebelum ini juga tidak dipanggil dalam perbincangan bagi pelantikan Ketua Kampung di seluruh negeri yang menyaksikan PAS hanya diberikan sebanyak 36 (jawatan) yang mewakili lima peratus daripada keseluruhan ketua kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, perkara yang berlaku sekarang sekali gus menghantar isyarat yang salah kepada usaha memperkasa Muafakat Nasional (MN) khususnya di Johor.
Katanya, PAS Johor sentiasa terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan Exco yang berkaitan dengan kerajaan tempatan, namun nampaknya tidak membuahkan hasil positif.
“Selain itu, mereka juga menggunakan platform mesyuarat MN untuk membawa hasrat parti dan akhirnya ‘dipersetujui bersama’, namun hasilnya sangat mendukacitakan.
“PAS Johor tetap berpegang kepada arahan Presiden supaya terus memperkasa MN dan mempertahan kerajaan PN, namun sekiranya perkara ini tidak diperbaiki dibimbangi akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya. -Malaysiapost

