Tiada kena mengena aksi lawan JDT – Nafuzi

0
1

“TIADA kena mengena dengan aksi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu,” tegas Nafuzi Zain susulan kekalahan besar 1-4 Terengganu FC (TFC) kepada Penang FC dalam saingan Liga Super malam tadi.

Pengendali skuad Penyu itu berkata demikian sebagai menafikan barisan pemainnya ‘over confidence’ ketika turun menentang Penang FC susulan kejayaan menewaskan JDT di tempat lawan, minggu lalu.

Sebaliknya jurulatih itu menjelaskan kekalahan tersebut adalah disebabkan pemain masih belum dapat mempamerkan konsistensi, khususnya ketika skuad TFC sebahagian besarnya dibarisi pemain muda.

“Kita tahu majoriti pemain TFC adalah pemain muda, ini proses untuk belajar. Sama macam awal musim kita menang tiga perlawanan, tapi selepas itu seri dengan Melaka United.

“Bagi saya konsistensi itu penting untuk pasukan, mungkin selepas menang dengan JDT harapan itu terlalu tinggi, apa lagi bermain di hadapan penyokong sendiri.

“Sikap terlalu yakin tu tak ada, mungkin pemain masih dalam proses untuk mendapatkan konsistensi dan di sinilah mereka akan belajar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi, Penang FC memintas TFC di kedudukan ketiga Liga Super selepas mencatat kemenangan 4-1.

Penyerang Tajikistan, Sheriddin Boboev menanduk masuk gol pertama pada minit ke-8 sebelum Endrick dos Santos menambah gol kedua selang 13 minit kemudian.

Bersambung babak kedua, Hakimi Abdullah merapatkan jurang gol dengan rembatan pada minit ke-59, namun Casagrande menambah dua gol pada minit ke-65 dan 68 untuk memastikan kemenangan Penang FC. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here