KEMENTERIAN Pendidikan hari ini, menetapkan empat kaedah perjalanan pulang untuk pelajar asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV) yang dibenarkan pulang ke kampung masing-masing sempena Hari Raya Aidilfitri.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, kaedah tersebut adalah dengan menaiki bas disediakan pihak sekolah, dijemput ibu bapa atau penjaga.
Katanya, bagi pelajar KTE dan KV dibenarkan pulang menggunakan pengangkutan udara atau air (Sabah, Sarawak dan Labuan) atau menggunakan kenderaan sendiri.
Pelajar dibenarkan pulang secara berperingkat mulai 6 Mei bagi sekolah Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Manakala 7 Mei bagi sekolah Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Pihak sekolah, KTE dan KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga, selain mengeluarkan surat pengesahan untuk setiap pelajar bagi tujuan pergerakan merentas negeri atau zon sekiranya mereka dijemput ibu bapa,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kebenaran berkenaan untuk dua individu iaitu ibu bapa atau penjaga sahaja dalam setiap kenderaan.
Sementara itu, katanya, merujuk prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelajar yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh kuarantin.
“Murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh PKPD.
“Kementerian menyediakan Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 sebagai rujukan kepada semua pihak terlibat termasuk Institusi Pendidikan Swasta yang berdaftar dengan KPM dan garis panduan berkenaan boleh dimuat turun di laman sesawang,
https://www.moe.gov.my,” katanya. -Malaysiapost

