PERTUBUHAN Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor (PMPPB JOHOR) menandatangani memoradum persefahaman (MoU) bersama Yayasan Kebajikan Pelajar, The Ledang Club serta Persatuan TatihSeni Malaysia bagi membangunkan program hub kebudayaan bertaraf Antarabangsa, semalam.
Pengerusi PMPPB Johor, R Thiagarajan berkata, usahasama berkenaan adalah untuk membangunkan kembali industri bas dan pelancongan negara.
Menurutnya, kerjasama tersebut mengetengahkan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Katanya, ia merupakan satu inisiatif usahasama kempat-empat pihak untuk merancakkan kembali sektor-sektor yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Pihak PMPPB Johor akan berganding menyediakan keperluan pengangkutan bagi segala program atau aktiviti yang bakal diadakan di sini kelak.
“Usahasama ini juga merupakan satu inisiatif bagi membolehkan ahli-ahli PMPPB Johor yang terdiri dari pengusaha dan pemandu bas Johor secara tidak langsung dapat mengaktifkan semula perniagaan mereka yang terbantut akibat pandemik Covid-19 sejak setahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, usahasama berkenaan turut akan membolehkan pihak PMPPB Johor menyalurkan peluang kepada ahli-ahli pengangkutan bas untuk beroperasi.
“Ini merupakan satu inisiatif bersama yang telah difikirkan bersama demi membantu ahli-ahli yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

