Arahan penutupan hanya melibatkan 22 bazar Ramadan – KPKT

0
1

ARAHAN penutupan bazar Ramadan hanya melibatkan 22 lokasi di seluruh negara, manakala 1,051 masih dibenarkan beroperasi.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan demikian susulan surat arahan penutupan 22 bazar Ramadan dikeluarkan Ketua Setiausaha KPKT tular hari ini.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat KPKT, berdasarkan data terkumpul daripada laporan sistem ‘Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE)’ yang telah dibangunkan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bazar-bazar ini telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang boleh menjadi punca kepada penyebaran jangkitan Covid-19.

“Sistem HIDE bertujuan untuk memberi amaran awal dalam mencegah ledakan jangkitan Covid-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

“Laporan HIDE telah menunjukkan bahawa angka kontak rapat yang tinggi dalam kalangan pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan yang terlibat.

“Sehingga 15 April 2021, sebanyak 904 kes positif Covid-19 yang dilaporkan mempunyai sejarah kunjungan atau dijangkiti oleh individu yang pernah mengunjungi bazar Ramadan tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, operasi bazar Ramadan yang terlibat akan ditutup selama tiga hari bagi tujuan sanitasi dan memperkemaskan semula prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disarankan untuk mengetatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di bazar Ramadan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Peniaga dan pengunjung juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Terdahulu, surat edaran arahan penutupan bazar Ramadan yang tular hari ini di media sosial,
dikeluarkan dan ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPKT DatukZainal Abidin Abu Hassan.

Menerusi surat kepada pihak PBT serta kerajaan negeri yang terbabit, semua bazar tersebut didapati menjadi kawasan penularan virus berdasarkan analisis pengesanan kontak melalui aplikasi MySejahtera.

Ia turut menyatakan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa lalu. – Malaysiapost

Artikel berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here