KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamidi Bador menempelak individu bergelar Menteri sebagai tidak cerdik apabila meminta sekatan jalan raya (SJR) dilonggarkan ketika menyaksikan kes harian Covid-19 makin meningkatkan.
Jelas beliau, pelbagai kluster baru Covid-19 timbul dan jumlah kes positif harian baharu meningkat selepas pihak polis melonggarkan SJR.
Abdul Hamid secara sinis berkata, ramai ‘menteri yang tidak cerdik’ kerana buat permintaan sedemikian.
“Semalam, saya marah menteri yang kutuk-kutuk polis pasal SJR. Menteri tak cerdik ramai betul pun.
“Dalam ribuan orang (di sekatan jalan raya), saya tak boleh pilih. Jadi saya tapislah satu-satu di SJR, jadi berlakulah kelewatan.
“(Pemimpin politik) bagi tau dengan saya longgarkan SJR apa nak diketatkan. Saya longgarkan balik dan kluster (Covid-19) bertambah,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mempertahankan tindakan anak buahnya yang mengenakan kompaun RM50,000 terhadap peniaga burger beroperasi lebih masa di Kelantan.
“Denda RM50,000 adalah tepat kerana jumlah itu ditetapkan bagi sektor perniagaan, manakala individu RM10,000,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut meluahkan kekesalan dengan sikap segelintir pemimpin politik yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu dan menggambarkan polis tidak sensitif.
“Saya dah bagi tahu kesalahan dia dalam bentuk gerai, jadi kompaun RM50,000 untuk premis perniagaan yang degil, individu RM10,000.
“RM50,000 dia kena bukan kata polis tak sensitif, polis sensitif. Boleh merayu, bukan tulis RM50,000 terus bayar RM50,000,” katanya.
Pada 26 April lalu, seorang peniaga burger, yang menjalankan perniagaannya di hadapan rumah melahirkan rasa terkejut apabila dikompaun RM50,000 oleh pihak polis gara-gara beroperasi melebihi had masa ditetapkan.
Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu dia didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan pesanan pelanggan di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu.
“Pihak polis kemudiannya bertindak mengeluarkan kompaun RM50,000 atas kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh PKP,” katanya. – Malaysiapost

