PENDAKWAH bebas, Ustaz Ebit Lew hari ini menziarahi ibu bapa dua beradik mangsa lemas yang terjatuh ke sungai di Rompin, Pahang baru-baru ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa itu terjatuh apabila motosikal ditunggangi ibu mereka hilang imbangan ketika melalui jambatan gantung di Kampung Rekoh itu.
Bagaimanapun, beliau bersyukur akhirnya mayat adik-beradik itu dijumpai dan selamat dikebumikan, hari ini.
“Sayu rasa hati bila dengar dua adik comel lemas di Kg Rekoh Keratong, Pahang.
“Ibunya bawa dua anak berumur 7 tahun dan 3 tahun ke klinik kerana dua-dua demam. Dah ambil ubat masa perjalanan balik dengan motor tiba tersangkut dan kedua anaknya terjatuh ke dalam sungai. Dekat dua hari hilang.
“Hari ini dijumpai dan dekat Asar tadi selesai pengkebumian. Innalilahi wa inna ilaihi rajiun,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan dengan itu, Ustaz Ebit menghulurkan bantuan untuk membaiki jambatan berkenaan yang dilihat sudah uzur selepas dilanda banjir.
“Tadi saya ke sana dan terus berjumpa ketua kampung. Tanya mengenai jambatan tu. Saya beri belanja untuk repair (baiki) pagar jambatan.
“Semuanya dah rosak kerana banjir. Dengan licin dan bahaya sangat jika tiada pagar dawai sepanjang tu. Ahad ni, mereka akan buat pagar dawai sepanjang tu. Saya lalu tadi sedih rasa.
“Dawai tu semua dah berlubang. Takut rasa risau orang lain bawa anak-anak lalu. Kesan banjir pagar tu dah teruk sangat. Ratus orang lalu untuk hantar anak sekolah, ke klinik dan ke bank dengan motor.
“Saya doakan jambatan batu dapat dibina disini segera.
“Saya ziarah kedua mak ayah adik tadi. Mereka menangis jer. Setiap doa saya mereka aminkan. Tak berhenti cakap terima kasih. Kedua anak tu menanti ibubapanya untuk masuk syurga. Semoga berkumpul kembali bersama dalam syurga,” katanya.
Pada Rabu lalu, Dua beradik iaitu Dhenis Maulida Puteri Masari, 7, serta adiknya Puteri Ramadhania Azzahra, 3,
dikhuatiri lemas selepas terjerumus ke dalam sungai selepas motosikal ditunggangi ibu mereka hilang imbangan semasa melalui jambatan gantung tersebut.
Bagaimanapun, mayat dua beradik yang terjatuh ke dalam Sungai Rekoh di sini pada Rabu sudah ditemui pada malam Khamis dan pagi Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Mohd Isa Bidin berkata, mayat Dhenis Maulida ditemui kira-kira 100 meter dari tempat kejadian oleh penduduk Kampung pada jam 8 malam Khamis.
Beliau berkata, mayat adiknya, Putri Rama pula ditemui pada jam 7.30 pagi Jumaat. – Malaysiapost

