Hari Pekerja: Ceupacs saran kerajaan selesaikan isu gaji, laluan kerjaya

0
1

ISU gaji dan laluan kerjaya antara empat perkara utama perlu diberi perhatian oleh kerajaan berhubung permasalahan warga kerja di Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sempena Hari Pekerja yang bakal disambut esok.

Presidennya, Adnan Mat berkata masih ramai pekerja di Malaysia yang gaji mereka berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan negara iaitu RM2,208.

Selain itu bagi laluan kerjaya, katanya, pekerja bawahan tidak mendapat peluang peningkatan kerjaya walaupun mempunyai kemahiran dan keupayaan yang baik.

Pada masa sama, beliau meminta kerajaan memberi perhatian terhadap isu perumahan serta kos sara hidup yang tinggi.

“Bagi isu perumahan, harga rumah yang terlalu tinggi berbanding pendapatan yang diterima sehingga menjejaskan kemampuan untuk memiliki kediaman impian.

“Kos Sara Hidup pula, mekanisme terbaik perlu dicapai bagi mengatasi peningkatan kos sara hidup terutama di bandar-bandar besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu Adnan berkata, Cuepacs sentiasa menghargai kerjasama dan penghargaan diberikan kerajaan yang sentiasa mendengar permintaan dan permasalahan yang dibawakan pihaknya melibatkan penjawat awam dan perkhidmatan awam di Malaysia.

“Hubungan Cuepacs dan kerajaan ketika ini berada pada tahap yang baik apabila kerajaan sentiasa terbuka mendengar cadangan dan pandangan.

“Keterbukaan ini turut dikongsi oleh pegawai tertinggi kerajaan yang lain seperti Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Kharul Adib Abd Rahman dan semua ketua-ketua jabatan.

“Cuepacs berharap kerajaan terus komited dengan agenda untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan kebajikan warga penjawat awam,” katanya. – Malaysiapost

Dalam pada itu, Adnan berkata Hari Pekerja adalah hari yang amat bermakna terutama bagi kakitangan kerajaan yang bertungkus lumus sejak setahun lalu memerangi pandemik Covid-19.

“Walaupun tahun ini masih lagi tiada perhimpunan besar-besaran dapat diadakan berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang masih lagi membimbangkan, Cuepacs percaya semangat dan jiwa warga pekerja di Malaysia terutama penjawat awam lebih besar daripada segala-galanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here