YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran terhadap kenaikan berterusan kes Covid-19 di Malaysia yang mencecah lebih 3,000 kes sehari.
Sehubungan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, berkata baginda menasihati rakyat supaya tidak alpa dan mengambil sikap sambil lewa dengan arahan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan, sekolah dan majlis-majlis keraian umum.
“Baginda menyeru rakyat supaya sentiasa berdisiplin dalam mematuhi arahan dan SOP ditetapkan kerajaan bagi mengelak negara ini dibadai tsunami Covid-19 seperti dialami beberapa negara di Asia Selatan dan Eropah.
“Rakyat juga diingatkan supaya tidak hilang fokus dan sentiasa berwaspada demi kesihatan dan keselamatan diri, ahli keluarga serta masyarakat.
“Ini kerana titah baginda, kesan gelombang keempat penularan wabak Covid-19 jika berlaku akan juga mengancam dan meruncingkan lagi ekonomi negara serta sosio-ekonomi rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kegusaran berikutan laporan berita terkini berkenaan penutupan beberapa sekolah di negara ini akibat penularan wabak Covid-10.
Pada masa sama baginda gusar mengenai kadar pematuhan SOP di beberapa majlis keraian dan bazar Ramadan di beberapa negeri masih belum mencapai tahap memuaskan.
“Turut membimbangkan apabila adanya laporan menyatakan hospital swasta di Lembah Klang kini mengalami kekurangan katil bagi menampung jumlah pesakit susulan peningkatan kes Covid-19 sejak dua minggu lalu.
“Baginda bertitah, laporan Kementerian Kesihatan turut meramalkan kes harian Covid-19 di negara ini boleh meningkat melebihi 3,000 selepas Aidilfitri sekiranya kurang pematuhan SOP yang secara langsung turut boleh meningkatkan nilai kebolehjangkitan,” katanya. -Malaysiapost
Foto Kredit: Facebook Istana Negara

