Audio itu bukan mirip, memang suara saya – Hamzah

0
1

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengakui audio yang tular di laman sosial berhubung pelantikan ketua polis negeri adalah suaranya.

Menurutnya, ia merupakan perbualannya dengan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini.

“Audio itu bukan mirip, saya mengaku itu saya,” katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan pelantikan KPN baharu.di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, hari ini.

Hamzah mengakui beliau ada meminta Abdul Hamid memberi senarai nama pengganti sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya rasa itu adalah suara yang benar oleh saya, saya tak lakukan apa-apa kesalahan… apa salahnya?

“Orang yang salahnya adalah yang rekod perbualan saya, saya dah cakap banyak kali bahawa kalau kita dengar apa salahnya, saya hanya minta Ketua Polis Negara beri beberapa nama kepada Yang di-Pertuan Agong salah ke?” jelasnya

Ditanya adakah beliau akan membuat laporan polis berhubung penularan rakaman audio itu, Hamzah tidak mahu ia dipanjangkan.

“Tidak perlu pun (buat laporan), kerana saya tak buat apa-apa salah pun. Kita buat perkara betul, saya diminta oleh Istana (Negara) untuk berikan nama pengganti.

“Perbualan saya itu dirakam tahun lalu, saya Menteri Dalam Negeri. Saya boleh lakukan dengan beberapa cara, tetapi siapa yang rakam?,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial satu rakaman audio berdurasi satu minit 22 saat dikatakan mirip suara Menteri Dalam Negeri itu.

Rakaman audio itu antara lain menyentuh berkenaan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam PDRM.

Pada masa sama, Hamzah sempat menyindir audio perbualan mirip suara Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular bulan lalu.

“Memang itu suara saya, saya mengakui. Tak ada salah pun perbualan tu. Macam cakap itu cikgu saya. Tapi kawan-kawan tu tak mengaku pun, malah suruh disiasat. Nak siasat untuk apa.

“Jadi saya mengaku kerana saya tak takut dan buat kesalahan, jadi ada yang tak mengaku kerana dikatakan takut dan buat kesalahan,” sindir Hamzah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here