Tiada jaminan tiada huru hara politik jika Parlimen bersidang – Ahmad Marzuk

0
2

TIADA jaminan tidak berlaku kekacauan politik jika Parlimen dibenarkan bersidang, sekali gus kemungkinan akan merencatkan usaha kerajaan memerangi Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata berdasarkan pengalaman sidang Parlimen sebelum ini, ia menjadi medan berpolitik individu tertentu, dengan melakukan cubaan demi cubaan untuk menghuru-harakan keadaan politik.

“Belum lagi dikira aksi-aksi tidak matang seperti berbalah perkara tidak penting dan saling menggelar sesama sendiri.

“Kita khuatir, Parlimen bukan sahaja tidak dapat menjalankan fungsinya untuk semak dan imbang, bahkan akan mencetuskan huru-hara politik yang tidak menentu dan tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Marzuk, kerajaan tidak pernah mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu Parlimen bersidang, sebaliknya melihat bahawa tiada jaminan politik negara akan stabil dan tidak timbul huru-hara jika Parlimen bersidang semula.

“Ada yang menuduh kerajaan mengingkari titah YDPA yang mahu Parlimen bersidang.

“Ada pula yang bersungguh-sungguh menegakkan hujah bahawa tanpa persidangan Parlimen, darurat akan membawa kepada salah guna kuasa kerana tiadanya proses semak dan imbang.

“Saya melihat ketika YDPA menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat, adalah besar bezanya dengan Parlimen perlu bersidang dengan kadar segera,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk menjelaskan kerajaan akan hilang fokus dalam memerangi Covid-19 jika Parlimen kembali bersidang.

“Kita tidak nafikan, peranan Parlimen amat penting dalam sistem dan amalan demokrasi. Namun, kita jangan terlupa bahawa persidangan Parlimen akan melibatkan proses dan birokrasinya yang tersendiri.

“Sedikit sebanyak, ini pastinya akan menjejaskan perjalanan agensi kerajaan dalam fokus untuk memerangi Covid-19.

“Setiap kali persidangan, setiap agensi di bawah kementerian-kementerian perlu sedia untuk menjawab soalan dan isu-isu yang dibangkitkan ketika perbahasan walaupun ia melibatkan isu picisan.

“Jadi, walaupun Parlimen boleh bersidang, kita tidaklah pula dalam keadaan perlu segera bersidang apabila banyak lagi perkara lebih utama untuk diuruskan dalam fasa yang genting ini,” jelasnya.

Ahmad Marzuk juga menambah, ketiadaan persidangan Parlimen akan mengurangkan risiko penularan Covid-19 melibatkan Ahli Parlimen.

“Sekalipun ada yang melihat bahawa tidak wajar Parlimen tidak dibenarkan bersidang dalam keadaan premis-premis lain sudah dibuka termasuklah sekolah, perlu diingat bahawa Ahli Parlimen ada peranannya yang tersendiri dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Cuba bayangkan, jika Parlimen bersidang, saban minggu, Ahli-Ahli Parlimen dan pegawai-pegawai mereka akan keluar masuk Parlimen dari lokasi yang pelbagai.

“Mereka ini pulang ke kawasan-kawasan Parlimen pada setiap hujung minggu, dan kembali semula bersidang di Parlimen pada minggu berikutnya. Tidak sedikit risiko yang akan menambah beban kerja petugas barisan hadapan sekiranya wujud jangkitan,” jelasnya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Twitter @/Marzuk_Shaary

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here