Malaysia terajui jawatan Pengarah Eksekutif Komuniti Lada Antarabangsa

0
2

MALAYSIA akan mengambil alih giliran jawatan Pengarah Eksekutif Komuniti Lada Antarabangsa (IPC) yang beribu pejabat di Jakarta, daripada Vietnam untuk tempoh tiga tahun mulai 5 Mei 2021.

Keputusan itu dipersetujui semua Ketua Perwakilan IPC negara anggota yang mana Malaysia menyertainya pada 22 Mac 1972.

Pegawai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Firna Azura Ekaputri Marzuki dipilih mewakili Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC baharu secara pinjaman untuk tempoh berkenaan.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 2008 sebelum menjawat jawatan Ketua Penolong Setiausaha di KPPK.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Korporat dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengucapkan tahniah kepada Firna Azura Ekaputri atas pelantikan itu.

Mohd Khairuddin berharap beliau dapat melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi serta amanah demi negara khususnya, bersama negara-negara pengeluar lada di seluruh dunia untuk memajukan sektor komoditi berkenaan.

Sementara itu, KPKK menerusi kenyataan memaklumkan IPC ditubuhkan pada 1972 di bawah naungan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) dan merupakan organisasi antara kerajaan dalam kalangan negara-negara pengeluar lada dunia.

“IPC yang berpusat di Jakarta, Indonesia diterajui Pengarah Eksekutif dengan dianggotai lima negara iaitu India, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka dan Vietnam manakala Papua New Guinea dan Filipina merupakan ahli bersekutu.

“Pelantikan wakil dari Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC diharap dapat memberi manfaat dalam memperkasakan industri lada negara selain memperkukuh hubungan kepakaran dan penyelidikan yang terjalin sejak tahun 1972.

“Selain itu, ia demi memastikan kepentingan industri lada negara terus terpelihara bersama dengan negara-negara anggota IPC yang lain,” katanya kenyataan itu hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here