Kerajaan komited laksana Undi 18 menjelang PRU15 – Reezal

0
1

KEMENTERIAN Belia dan Sukan menyambut baik jaminan kerajaan untuk melaksanakan kelayakan umur pengundi 18 tahun (Undi 18) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) .

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkembangan terbaharu itu hasil perbincangan serta pandangan balas dikemukakan Ahli Jemaah Menteri yang sentiasa menyokong bagi memastikan pindaan Perlembagaan yang dibuat pada 2019 dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

“Ini merupakan jaminan dan komitmen berterusan kerajaan bahawa Undi 18 akan tetap dilaksanakan menjelang PRU-15 kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal berkata, penguatkuasaan kelayakan umur mengundi 18 tahun kelak akan memberi hak asasi warganegara kepada lebih 1.2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun.

“Undi18 ini adalah soal fundamental sebuah negara demokrasi dan ia dipersetujui hampir keseluruhan Ahli Dewan Rakyat pada kala ia diluluskan. Ia adalah keputusan bipartisan yang besar.

“Oleh itu, selaku Menteri Belia dan Sukan yang turut menyokong pindaan Perlembagaan sebagai blok pembangkang pada ketika itu, sudah semestinya ingin melihat ia terlaksana seperti mana jajaran masa ditetapkan,” katanya.

Justeru, katanya, Kementerian Belia dan Sukan juga akan terus melaksanakan program serta aktiviti bersama anak muda dalam perkara Undi 18.

“Saya juga akan terus memberi komitmen dalam memastikan soal perluasan lantai demokrasi, menjadi “accomplished deal” antara kerajaan dan anak muda,” kata Ahli Parlimen Kubang Pasu itu.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan komited untuk melaksanakan Undi 18 sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.

Takiyuddin berkata, kerajaan juga yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard (SOP). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here