Borang palsu: hasrat wanita warga asing pergi Kuantan tak kesampaian

0
2

WANITA warga asing ditahan selepas dikesan menggunakan borang rentas negeri palsu ketika menaiki sebuah bas ekspres yang melalui Bentong, kelmarin.

Wanita berusia 38 tahun itu ditahan susulan pemeriksaan ke atas bas ekspres tersebut di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata ketika kejadian anggota menahan sebuah bas ekspres yang membawa 16 penumpang.

Katanya, bas tersebut dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di ibu negara menghala ke Kuantan.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang penumpang wanita itu menggunakan dokumen yang dipalsukan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Borang rentas negeri yang dipalsukan

Zaiham berkata, wanita itu mendakwa mendapatkan borang rentas negeri daripada salah seorang rakannya.

Namun katanya, setelah polis menghubungi balai polis yang mengeluarkan borang rentas negeri tersebut, tiada nombor siri seperti tertera di dalam borang dibawa wanita terbabit.

“Wanita itu kemudian mengakui menggunakan salinan borang yang diperoleh daripada seorang rakannya,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here