Sanggup serah kedai runcit kerana tak mampu bayar kompaun RM50,000

0
1

SEORANG peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 menawarkan kedai runcitnya sebagai ganti kerana mengakui tidak mampu membayar jumlah denda berkenaan.

Mansah Marjurin, 47, antara tiga peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 pada Ahad lalu bagi kesalahan beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ambillah kedai runcit saya sebagai ganti, memang saya tidak akan mampu untuk membayar kompaun sebanyak RM50,000,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dia yang berniaga kedai runcit di Jalan Chempaka, Kota Bharu berkata, sememangnya dia tiada kemampuan untuk membayar kompaun kerana bayaran rumah juga sudah tertunggak tujuh bulan selain sebuah kereta ditarik bank sejak PKP.

Mansah berkata, ketika kejadian dia didatangi empat anggota polis kira-kira jam 11.40 malam dan menjelaskan premis kedai runcit miliknya sudah ditutup, namun hanya pintu kecil tidak berkunci kerana ketika itu ada saudara datang berkunjung.

“Memang saya sudah menutup kedai dengan keseluruhan pintu sudah dikunci, namun jam 10 malam saudara isteri datang berkunjung di kedai dan ketika itu kami sedang berborak di dalam kedai.

“Pintu kecil pula dibuka kerana ada anak kecil yang keluar masuk, bukannya untuk pelanggan. Selepas itu saya terkejut apabila anggota polis datang dan bertanyakan kenapa kedai masih beroperasi.

“Saya sudah menjelaskan dengan menunjukkan pintu gril yang ditutup namun tetap disaman dengan jumlah RM50,000,” katanya.

Bapa kepada tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun itu mengakui sangat terkejut melihat jumlah kompaun yang dikenakan kerana pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada jualan kedai runcit dan isteri juga tidak bekerja.

“Sejak malam itu, saya buntu dan tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan. Saya juga belum membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah kerana masih dalam suasana terkejut. Mungkin hari ini baru saya pergi membuat rayuan.

“Jika diminta bayar, memang saya tidak mampu, ambillah kedai runcit saya sebagai ganti,” katanya.

Dia yang berasal dari Bukit Tinggi, Klang turut berharap ada pihak tampil membantunya selain membantu dua peniaga lain yang dikenakan jumlah kompaun sama.

Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger, Ahad lalu.

Beliau dilapor berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here