KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021 manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan memansuhkan UPSR dan membatalkan PT3 tersebut mengambil kira situasi semasa dan persediaan para pelajar serta guru.
“Antara asas utama PT3 dibatalkan selepas mengambil kira masa yang ada bagi pelajar untuk membuat persediaan khususnya secara bersemuka bersama guru di sekolah.
“Penularan Covid-19 masih belum dapat ditangani sepenuhnya. Justeru, mengambil kira keadaan semasa serta tanpa pelaksanaan PT3 tahun ini, kaedah pentaksiran pelajar boleh terus dilaksanakan.
“Sehubungan itu, bagi mana-mana pelajar yang berminat untuk memasuki sekolah berasrama penuh pada tahun 2022, mereka perlu menduduki kelayakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK),” katanya pada sidang media khas KPM, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai UPSR, KPM memutuskan untuk memansuhkan peperiksaan itu secara mutlak tahun ini selepas membuat penilaian menyeluruh membabitkan sesi libat urus semua pihak.
“Daripada penilaian yang dilaksanakan menerusi sesi libat urus menyeluruh termasuk guru besar, guru, PIBG dan persatuan serta murid.
“Lebih 1,700 terbabit membincangkan maklum balas bermanfaat termasuk pandangan, penelitian, kaedah dan pemasalahan UPSR.
“Justeru, pagi tadi KPM membentangkan memorandum kepada jemaah menteri berkaitan UPSR dan umumkan keputusan ia dimansuhkan mulai 2021,” katanya.
Ditanya apakah input menerusi libat urus sehingga KPM membuat keputusan memansuhkan UPSR, Radzi berkata, antara maklum balas yang diterima adalah guru terpaksa memberi tumpuan yang lebih kepada subjek UPSR sehingga mengekang kreativiti guru dalam pengajaran.
“Ada ibu bapa cerita mereka turut tertekan untuk sediakan anak-anak mereka bagi menduduki UPSR.
“Bukan sahaja ibu bapa, murid juga tertekan untuk membuat persediaan, untuk mendapatkan skor 6A dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, langkah yang sama dilaksanakan menerusi PKSK bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh.
Katanya, secara umumnya PT3 dibatalkan namun pentaksiran itu kekal dalam sistem pentaksiran kebangsaan namun UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021.
Bagi penilaian pelajar keperluan Khas iaitu Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) turut dimansuhkan selari dengan pemansuhan UPSR, namun akan dilaksanakan di peringkat sekolah melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). – Malaysiapost

