KERAJAAN Sabah memutuskan untuk menyekat kemasukan bagi semua individu dari lima buah negara iaitu India, Perancis, Amerika, Afrika dan Brazil bagi memasuki negeri itu berkuat kuasa hari ini.
Ketua Menterinya, Datuk Hajiji Noor, berkata larangan berkenaan adalah bagi mencegah penularan varian baharu (Variant of Concern) atau VoC dari negara yang disenaraikan itu.
Bagaimanapun, jelasnya, pengecualian masuk ke negeri Sabah diberikan kepada rakyat Sabah serta pasangan (suami atau isteri) dan anak kepada rakyat Sabah sahaja.
“Namun, mereka perlu mematuhi prosedur kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan.
“Kru kapal yang mempunyai sejarah perjalanan dari negara India dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan menjalankan prosedur ‘signoff’ di negeri Sabah.
“Tetapi kru warganegara Malaysia dikecualikan dan wajib menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam. -Malaysiapost

