Jawatankuasa Khas Bebas bukan pengganti Parlimen – Azalina

0
1

JAWATANKUASA Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat memainkan peranan yang jauh berbeza dengan Parlimen dan ia tidak sepatutnya menggantikan peranan Parlimen yang digantung sepanjang darurat.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman, berkata demikian susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bahawa sebarang pandangan boleh disalurkan melalui mana-mana saluran seperti Jawatankuasa berkenaan.

Jelasnya, Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi bagi kerajaan Persekutuan meluluskan dan meminda undang-undang Persekutuan, memeriksa dan menyoal dasar kerajaan.

“Namun sebaliknya, Jawatankuasa Khas Bebas hanya sekadar menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat perlu diteruskan atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Timbalan Speaker itu mengesyorkan penubuhan Jawatankuasa Bebas 2.0 terdiri daripada Ahli Parlimen dan dipengerusikan Speaker Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan peranan Parlimen sepanjang darurat.

“Sekiranya (Ahli Parlimen) Kota Bharu (Takiyuddin) membayangi bahawa Jawatankuasa Khas Bebas akan menggantikan peranan dan fungsi Parlimen, tidakkan Kota Bharu merasakan lebih baik suatu ordinan dimasyhurkan supaya suatu Jawatankuasa Bebas 2.0 ditubuhkan bagi memainkan peranan tersebut?

“Jika ya pun, pendapat boleh disalurkan kepada Jawatankuasa Khas Bebas, tindakan Kota Bharu merasakan bahawa terma rujukan baru yang diperkenalkan atau dipinda supaya proses bagi penyaluran cadangan dan pendapat dapat dilakukan?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ahli Parlimen dan rakyat tidak mempunyai akses kepada prosiding mesyuarat yang diadakan antara ahli Jawatankuasa Khas Bebas dan Jawatankuasa Khas Bebas tidak menjalankan siasatan atau inkuiri berdasarkan pendengaran awam yang disiarkan di media massa.

Justeru, beliau berpendapat keputusan kerajaan menggantung Parlimen melalui Seksyen 14 Ordinan Darurat No 1 secara langsung dan tidak langsung menjejaskan kesinambungan dan kelestarian doktrin pemisahan kuasa dan sistem demokrasi berparlimen negara.

“Tidakkah sistem demokrasi berparlimen dalam negara seolah-olah tidak lagi wujud memandangkan badan Eksekutif bukan lagi bertanggungjawab terhadap Parlimen?

“Jika Eksekutif seakan-akan tidak lagi bertanggungjawab kepada Parlimen selaras dengan konsep sistem demokrasi berparlimen, kepada siapa badan Eksekutif bertanggungjawab?” soalnya lagi.

Terdahulu, Takiyuddin menyatakan kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil pada masa sesuai, sama ada sebelum atau selepas perintah darurat tamat pada 1 Ogos depan.

Beliau berkata, semua pihak termasuk pembangkang boleh menyalurkan pandangan kepada kerajaan melalui saluran ditetapkan seperti melalui Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang ditubuhkan bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal berkaitan penguatkuasaan perintah itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here