KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggelar pemimpin Umno yang suka mengadu domba sebagai ‘tidak sedar diri’ kerana sering mencetuskan persepsi terhadap parti itu.
Aysraf Wajdi tanpa menamakan mana-mana pihak berkata, sikap mengadu domba itu harus dihentikan kerana ia mencetuskan persepsi umpama ‘Rumah dah siap, pahat masih berbunyi’.
Kenyataan Asyraf Wajdi itu susulan dakwaan seorang pemimpin Umno bahawa wujud pertemuan antara Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Wanita Umno bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Terima kasih Datuk Seri Noraini Ahmad, Ketua Wanita Umno yang bingkas dan pantas mencairkan fitnah.
“Buat segelintir pemimpin-pemimpin Umno yang masih tak sedar diri! Sudah-sudahlah mengadu-domba dan mencetuskan persepsi bak ‘Rumah dah siap, pahat masih berbunyi’
“Perhimpunan Agong Umno sebagai platform tertinggi parti telahpun buat ketetapan ‘NO DAP, NO PKR, NO PPBM!’,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, rakyat sudah tidak lagi mahu mendengar cerita politik dalaman Umno kerana banyak isu lebih utama ketika ini yang perlu diberi perhatian.
“Rakyat tidak mahu dengar lagi cerita politik dalaman Umno!Cubalah selami isu rakyat ketika ini! Rakyat susah nak cari makan!
“Rakyat marah dilayani ‘dwi-standard’ dalam SOP dan Kompaun!Rakyat kecewa ketika mereka mengikat perut, ada pemimpin masih berjoli sakan! Rakyat resah tak boleh bersama keluarga di kampung menyambut lebaran!,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, pemimpin Umno disaran untuk memberi fokus kepada agenda membantu rakyat terutama dalam situasi sukar ini.
“Kalau masih ada sekelumit perasaan simpati dan belum ‘mati rasa’, fokuslah agenda bantu rakyat dan berani bersuara bagi menggemakan denyut nadi mereka!
“Paling tidak, lebih baik berdiam diri dan fokus mengejar pahala berganda di bulan penuh barakah dan maghfirah Ramadan Al Mubarak,” katanya.
Terdahulu, Noraini menafikan wujud pertemuan antara sayap parti itu dengan Ahmad Zahid bagi menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
Noraini berkata, beliau bersama barisan Exco Wanita tidak pernah mengadakan perjumpaan dengan Ahmad Zahid atas tujuan seperti yang didakwa oleh pemimpin tersebut.
“Saya menafikan dakwaan bahawa wujud pertemuan antara Presiden dengan Wanita Umno untuk tujuan itu.
“Pertemuan sedemikian tidak pernah berlaku dan dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. Saya minta pihak berkenaan tidak mengheret Wanita Umno ke dalam kancah politik yang tidak sihat,” katanya.
Difahamkan, Menteri Pengajian Tinggi itu berkata demikian susulan dakwaan daripada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Exco Wanita Umno, Datuk Shamsiah Mohd Yassin yang berkata wujud gerakan untuk menyokong ahli Parlimen Port Dickson itu untuk dilantik sebagai perdana menteri. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/28/wanita-umno-nafi-jumpa-zahid-untuk-sokong-anwar-jadi-pm/

